Monday, August 2, 2010

~razza rindu ramadhan~

Seperti seorang kekasih, selalu diharap kedatangannya. Rasanya tidak
ingin berpisah walaupun hanya cuma sedetik. Begitulah Ramadhan seperti
digambarkan sebuah hadith yang diriwayatkan Ibnu Khuzaimah, "Andaikan
tiap hamba mengetahui apa yang ada dalam Ramadhan, maka ia bakal
berharap satu tahun itu puasa terus."



Sesungguhnya, apa adanya di dalam Ramadhan itu, ikutilah berikut ini:

1. Gelaran taqwa

Taqwa adalah gelaran tertinggi yang dapat diraih manusia sebagai hamba
Allah. Tidak ada gelaran yang lebih mulia dan tinggi dari itu. Maka
setiap hamba yang telah mampu meraih gelaran taqwa, ia dijamin hidupnya
di syurga dan diberi kemudahan-kemudahan di
dunia. Dan puasa adalah infrastructure untuk mendapatkan gelaran taqwa
itu.

"Hai orang-orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana
diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa."
QS al-Baqarah: 183

Kemudahan-kemudahan yang diberikan Allah kepada hambanya yang taqwa,
antara lain:

a. Jalan keluar dari semua masalah

Kemampuan manusia amat terbatas, sementara persoalan yang dihadapi
begitu banyak. Mulai dari masalah dirinya, anak, isteri, saudara, orang
tua, pejabat dan sebagainya. Tapi bila orang itu taqwa, Allah akan
menunjukkan jalan bagi persoalan itu. Bagi Allah tidak ada yang sulit,
kerana Dialah pemilik kehidupan ini.

"...Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan
baginya jalan keluar."
QS. Ath Thalaaq: 2

"...Dan barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan
baginya kemudahan dalam urusannya."
QS. Ath Thalaaq: 4


b. Dicukupkan keperluannya

"Dan memberinya rezeki dari arah yang tak disangka-sangkanya. Dan
barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan
mencukupkan (keperluan)nya...."
QS. Ath Thalaaq: 3


c. Ketenangan jiwa, tidak khuatir dan bersedih hati

Bagaimana boleh bersedih hati, bila di dalam dadanya tersimpan Allah.
Ia telah menggantungkan segala hidupnya kepada Pemilik kehidupan itu
sendiri. Maka orang yang selalu mengingat-ingat Allah, ia bakal
memperoleh ketenangan.

"Hai anak-anak Adam, jika datang kepadamu rasul-rasul daripada kamu
yang menceritakan kepadamu ayat-ayat-Ku, maka barangsiapa
bertaqwa dan mengadakan perbaikan, tidaklah ada kekhuatiran terhadap
mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati."
QS. al-A'raaf: 35


2. Bulan pengampunan

Tidak ada manusia yang tiada berdosa, sebaik manapun dia. Sebaik-baik
manusia bukanlah yang tanpa dosa, sebab itu tidak mungkinterjadi.
Manusia yang baik adalah yang paling sedikit dosanya, lalu bertaubat
dan berjanji tidak mengulangi perbuatan dosa itu lagi.

Kerana dosa manusia itu, maka Allah telah menyediakan alat penghapus
yang canggih. Itulah puasa pada bulan Ramadhan. Beberapa hadith
menyatakan demikian, salah satunya diriwayatkan Bukhari Muslim dan Abu
Dawud, "Barangsiapa berpuasa pada bulan
Ramadhan kerana keimanannya dan kerana mengharap redha Allah, maka
dosa-dosa sebelumnya diampuni."


3. Pahalanya dilipatgandakan

Tidak hanya pengampunan dosa, Allah juga telah menyediakan bonus pahala
berlipat-lipat kepada sesiapapun yang berbuat baik pada bulan mulia
ini. Rasulullah bersabda, "Setiap amal anak keturunan Adam
dilipatgandakan. Tiap satu kebaikan sepuluh lipat gandanya hingga tujuh
ratus lipat gandanya."
HR. Bukhari Muslim

Bahkan amalan-amalan sunnah yang dikerjakan pada Ramadhan, pahalanya
dianggap sama dengan mengerjakan amalan wajib.
HR. Bahaiqi dan Ibnu Khuzaimah

Maka perbanyakkanlah amal dan ibadah..


4. Pintu syurga dibuka dan neraka ditutup

"Kalau tiba bulan Ramadhan terbuka pintu syurga, tertutup pintu neraka,
dan syaitan-syaitan terbelenggu."
HR Muslim

Kenapa pintu syurga terbuka? Kerana sedikit sahaja amal perbuatan yang
dilakukan, boleh membawa seseorang itu ke syurga. Boleh diibaratkan,
bulan puasa itu bulan "Sale". Orang yang tidak membeli akan merasa
rugi. Amal sedikit saja dilipatgandakan ganjarannya
sedemikian banyak. Ganjaran itu untuk mendorong orang melakukan
amal-amal kebaikan di bulan Ramadhan. Dengan demikian secara automatik
pintu neraka tertutup dan tidak ada lagi kesempatan untuk syaitan
menggoda manusia.


5. Ibadah istimewa

Keistimewaan puasa ini dikatakan Allah melalui hadith qudsinya, "Setiap
amalan anak Adam itu untuk dirinya, kecuali puasa. Itu milik-Ku dan Aku
yang membalasnya kerana ia (orang yang berpuasa) meninggalkan syahwat
dan makanannya kerana Aku."
HR Bukhari Muslim

Menurut Quraish Shihab, ahli tafsir dari IAIN Syarif Hidayatullah
Jakarta, puasa dikatakan untuk Allah dalam erti untuk menauladani
sifat-sifat Allah. Itulah substance puasa.

Misalnya, dalam bidang jasmani, Allah tidak makan, tapi memberi makan.
Itu ditauladani, maka ketika berpuasa kita tidak makan, tapi
kita memberi makan. Kita dianjurkan untuk mengajak orang berbuka puasa.
Ini tahap dasar menauladani Allah.

Masih ada tahap lain yang lebih tinggi dari sekadar itu. Maha Pemurah
adalah salah satu sifat Tuhan yang seharusnya juga kita tauladani. Maka
dalam berpuasa, kita dianjurkan banyak bersedekah dan berbuat kebaikan.
Tuhan Maha Mengetahui. Maka dalam berpuasa, kita harus banyak belajar.
Belajar boleh melalui membaca Al-Qur'an, membaca kitab-kitab yang
bermanfaat, meningkatkan pengetahuan ilmiah.

Allah swt setiap saat sibuk mengurus makhluk-Nya. Dia bukan hanya
mengurus manusia. Dia juga mengurus binatang. Dia mengurus semut. Dia
mengurus rumput-rumput yang bergoyang. Manusia yang berpuasa
menauladani Tuhan dalam sifat-sifat ini, sehingga dia harus selalu
dalam kesibukan.

Perlu ditekankan menauladani Tuhan itu sesuai dengan kemampuan kita
sebagai manusia. Kita tidak mampu untuk tidak tidur sepanjang malam,
tidurlah secukupnya. Kita tidak mampu untuk terus-menerus tidak makan
dan tidak minum. Kalau begitu, tidak makan dan tidak minum cukup sejak
terbitnya fajar sampai tenggelamnya matahari
saja.


6. Dicintai Allah

Nah, sesesorang yang meneladani Allah sehingga dia dekat kepada- Nya.
Bila sudah dekat, minta apa saja akan mudah dikabulkan. Bila Allah
telah mencintai hambanya, dilukiskan dalam satu hadith Qudsi, "Kalau
Aku telah mencintai seseorang, Aku menjadi pendengaran untuk
telinganya, menjadi penglihatan untuk matanya, menjadi pegangan untuk
tangannya, menjadi langkah untuk kakinya."
HR Bukhari


7. Do'a dikabulkan

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, katakanlah
bahawa Aku dekat. Aku mengabulkan permohonan orang berdoa apabila dia
berdoa, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku."
QS. al-Baqarah: 186

Memperhatikan penyusunan kalimah ayat di atas, bererti ada orang berdoa
tapi sebenarnya tidak berdoa. Iaitu doanya orang-orang yang tidak
memenuhi syarat. Apa syaratnya? "maka hendaklah mereka itu
memenuhi (segala perintah) Ku."

Benar, berdoa pada Ramadhan mendapat tempat khusus, seperti dikatakan
Nabi saw, "Tiga doa yang tidak ditolak; orang berpuasa hingga berbuka
puasa, pemimpin yang adil dan doanya orang teraniaya. Allah mengangkat
doanya ke awan dan membukakan pintu- pintu langit. 'Demi kebesaranKu,
engkau pasti Aku tolong meski tidak sekarang."
HR Ahmad dan Tirmidzi

Namun harus diingat bahawa segala makanan yang kita makan, kesucian
pakaian, kesucian tempat, itu mempunyai hubungan yang erat
dengan pengabulan doa. Nabi pernah bersabda, ada seorang yang sudah
lusuh pakaiannya, kusut rambutnya berdoa kepada Tuhan. Sebenarnya
keadaannya yang lusuh itu dapat membawa doanya dia diterima. Tapi kalau
makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya yang dipakainya diambil
dari barang yang haram, bagaimana dapat dikabulkan doanya?

Jadi doa itu berkait erat dengan kesucian jiwa, pakaian dan makanan. Di
bulan Ramadhan jiwa kita diasah hingga bersih. Semakin bersih jiwa
kita, semakin tulus kita, semakin bersih tempat, pakaian dan makanan,
semakin besar kemungkinan untuk dikabulkan doa.


8. Turunnya Lailatul Qadar

Pada bulan Ramadhan Allah menurunkan satu malam yang sangat mulia.
Tersangat mulianya Allah menggambarkan malam itu nilainya lebih dari
seribu bulan.
QS. al-Qadr

Dikatakan mulia, pertama lantaran malam itulah awal Al-Qur'an
diturunkan. Kedua, begitu banyak anugerah Allah diturunkan pada
malam itu.

Beberapa hadith shahih meriwayatkan malam laulatul qadar itu jatuh pada
sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Seperti dirawikan Imam Ahmad,
"Lailatul qadar adalah di akhir bulan Ramadhan tepatnya di sepuluh
terakhir, malam keduapuluh satu atau duapuluh tiga atau duapuluh lima
atau duapuluh tujuh atau duapuluh sembilan atau akhir malam Ramadhan.
Barangsiapa mengerjakan qiyamullail (sholat malam) pada malam tersebut
kerana mengharap redha-Ku, maka diampuni dosanya yang lampau atau yang
akan datang."

Mengapa di akhir Ramadhan, bukan pada awal Ramadhan? Oleh kerana dua
puluh malam sebelumnya kita mengasah dan mengasuh jiwa kita. Itu adalah
suatu persiapan untuk menyambut lailatul qadar.

Ada dua tanda lailatul qadar. Al Qur'an menyatakan, "Pada malam itu
turun malaikat-malaikat dan malaikat JIbril dengan izin Tuhan
mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu
(penuh)kesejahteraan/kedamaian sampai terbit fajar.
QS al-Qadr: 4-5

Malaikat bersifat ghaib, kecuali bila berubah bentuk menjadi manusia.
Tapi kehadiran malaikat dapat dirasakan. Syekh Muhammad
Abduh menggambarkan, "Kalau anda menemukan sesuatu yang sangat
berharga, di dalam hati anda akan tercetus suatu bisikan, 'Ambil barang
itu!' Ada bisikan lain berkata, 'Jangan ambil, itu bukan milikmu!'

Bisikan pertama adalah bisikan syaitan. Bisikan kedua adalah bisikan
malaikat." Dengan demikian, bisikan malaikat selalu mendorong seseorang
untuk melakukan hal-hal positif. Jadi kalau ada seseorang yang dari
hari demi hari sisi kebajikan dan positifnya terus bertambah, maka
yakinlah bahawa ia telah bertemu dengan lailatul qadar.


9. Meningkatkan kesihatan

Sudah banyak terbukti bahawa puasa dapat meningkatkan kesihatan.
Misalnya, dengan puasa maka organ-organ pencernaan dapat
beristirahat. Pada hari biasa alat-alat pencernaan di dalam tubuh
bekerja keras. Setiap makanan yang masuk ke dalam tubuh
memerlukan proses pencernaan lebih kurang lapan jam. Empat jam diproses
di dalam perot dan empat jam di usus kecil (ileum).

Jika malam sahur dilakukan pada pukul 4.00 pagi, bererti pukul 12
tengahari alat pencernaan selesai bekerja. Dari pukul 12 tengahari
sampai waktu berbuka, lebih kurang selama enam jam, alat pencernaan
mengalami istirahat total.

Meningkatkan sistem kekebalan tubuh. Berdasarkan penelitian yang
dilakukan para ahli kesihatan, ternyata dengan berpuasa sel darah putih
meningkat dengan pesat sekali. Penambahan jumlah sel darah putih secara
automatik akan meningkatkan sistem kekebalan tubuh.

Menghambat perkembangan atau pertumbuhan bakteria, virus dan sel
cancer. Dalam tubuh manusia terdapat parasit-parasit yang menumpang
makan dan minum. Dengan menghentikan pemasukan makanan, maka
kuman-kuman penyakit seperti bakteria-bakteria dan sel-sel cancer tidak
akan dapat bertahan hidup. Mereka akan keluar melalui cairan tubuh
bersama sel-sel yang telah mati dan toksin.

Manfaat puasa yang lain adalah membersihkan tubuh dari racun kotoran
dan hampas, mempercepat regenasi kulit, menciptakan keseimbangan
elektrolit di dalam perot, memperbaiki fungsi hormon, meningkatkan
fungsi organ reproduksi, meremajakan atau mempercepat regenerasi
sel-sel tubuh, meningkatkan fungsi fisiologis
organ tubuh, dan meningkatkan fungsi susunan saraf.


10. Penuh harapan

Ketika berpuasa, ada sesuatu yang diharap-harapkan. Harapan itu kian
besar menjelang petang. Sehari penuh menahan lapar dan dahaga, lalu
datang waktu berbuka, wah... rasanya lega sekali. Alhamdulillah. Itulah
harapan yang terkabul. Apalagi harapan bertemu Tuhan, masya' Allah,
menjadikan hidup lebih bermakna.

"Setiap orang berpuasa selalu mendapat dua kegembiraan, iaitu tatkala
berbuka puasa dan saat bertemu dengan Tuhannya."
HR. Bukhari


11. Masuk syurga melalui pintu khusus, Rayyaan

"Sesungguhnya di syurga itu ada sebuah pintu yang disebut rayyan yang
akan dilalui oleh orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat
nanti, tidak diperbolehkan seseorang melaluinya selain mereka. Ketika
mereka dipanggil, mereka akan segera bangkit dan masuk semuanya
kemudian ditutup."
HR. Bukhari


12. Minum air telaganya Rasulullah saw

"Barangsiapa pada bulan Ramadhan memberi makan kepada orang yang
berbuka puasa, maka itu menjadi keampunan bagi dosa-dosanya, dan
mendapat pahala yang sama tanpa sedikit pun mengurangi pahala orang
lain.

Mereka (para sahabat) berkata, 'Wahai Rasulullah, tidak setiap kami
mempunyai makanan untuk diberikan kepada orang yang berbuka puasa.'

Beliau berkata, 'Allah memberikan pahala kepada orang yang memberi buka
puasa meski dengan sebutir kurma, seteguk air, atau seteguk susu...
Barangsiapa memberi minum orang yang berpuasa maka Allah
akan memberinya minum seteguk dari telaga dimana ia tidak akan haus
hingga masuk syurga."
HR. Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi


13. Berkumpul dengan sanak keluarga

Pada 1hb Syawal umat Islam merayakan Hari Raya Idil Fitri. Inilah hari
kemenangan setelah berperang melawan hawa nafsu dan syaitan selama
sebulan Ramadhan. Ketika itu orang ramai melakukan silahtuhrahim dan
saling memaafkan satu dengan yang lain. Termasuk
kerabat-kerabat jauh yang datang berkunjung. Orang-orang yang bekerja
di kota pulang untuk merayakannya di kampung bersama kedua orang
tuanya. Maka setiap hari raya selalu terjadi pemandangan khas, iaitu
orang berduyun-duyun dan berhimpit-himpit menaiki kenderaan mudik ke
kampung halaman.

Silahturahim dan saling memaafkan itu menurut ajaran Islam boleh
dilakukan bila-bila saja. Tidak semestinya pada Hari Raya sahaja. Tetapi
itu juga tidak dilarang. Justeru itu momentum yang seeloknya. Mungkin,
pada hari biasa kita sibuk dengan urusan masing-masing, sehingga tidak
sempat lagi menjalin hubungan dengan tetangga dan
saudara yang lain.

Padahal silahturahim itu dianjurkan Islam, sebagaimana dinyatakan
hadith, "Siapa yang ingin rezekinya dibanyakkan dan umurnya
dipanjangkan, hendaklah ia menghubungkan tali silaturahmi!"
HR. Bukhari


14. Qaulan tsaqiilaa

Pada malam Ramadhan ditekankan disunnahkan) untuk melakukan sholat
malam dan tadarus al-Qur'an. Waktu paling baik menunaikan sholat malam
sesungguhnya seperdua atau sepertiga malam terakhir.
QS Al Muzzammil: 3

Tetapi demi kesemarakan syiar Islam pada Ramadhan ulama membolehkan
melakukan terawih pada awal malam setelah sholat isya'
dengan berjamaah di masjid. Sholat ini lebih popular disebut sholat
tarawih.

Sholat malam itu merupakan peneguhan jiwa, setelah siangnya sang jiwa
dibersihkan dari nafsu-nafsu kotor lainnya. Ditekankan pula
selesai sholat malam untuk membaca Kitab Suci al-Qur'an secara tartil
(memahami maknanya). Dengan membaca Kitab Suci itu seseorang bakal
mendapat wawasan-wawasan yang luas dan mendalam, kerana al-Qur'an
memang sumber pengetahuan dan ilham.

Dengan keteguhan jiwa dan wawasan yang luas itulah Allah kemudian
mengurniakan qaulan tsaqiilaa (perkataan yang berat). Perkataan-
perkataan yang berwibawa. Ucapan-ucapannya selalu berisi kebenaran.
Maka orang-orang yang suka melakukan sholat malam wajahnya bakal
memancarkan kewibawaan.


15. Hartanya disucikan

Setiap Muslim yang mampu pada setiap Ramadhan diwajibkan mengeluarkan
zakat. Ada dua zakat, yaitu fitrah dan maal. Zakat
fitrah besarnya 2,5 kilogram per orang berupa bahan-bahan makanan
pokok. Sedangkan zakat maal besarnya 2,5 persen dari seluruh
kekayaannya bila sudah mencapai batas nisab dan waktunya.

Zakat disamping dimaksudkan untuk menolong fakir miskin, juga guna
mensucikan hartanya. Harta yang telah disucikan bakal mendatangkan
barkah dan menghindarkan pemiliknya dari siksa api neraka. Harta yang
barkah akan mendatangkan ketenangan, kedamaian dan kesejahteraan.
Sebaliknya, harta yang tidak barkah akan mengundang kekhuatiran dan
ketidaksejahteraan.