Saturday, July 17, 2010

~sabar vs marah~

Allah menciptakan manusia dengan pelbagai sifat dan kecenderungan yang pastinya tidak sama tingkatannya dengan orang lain. Sifat sabar yang mulia ini sudah semestinya dimiliki dengan tahap yang tinggi oleh para nabi dan rasul. Walaupun kita sebagai manusia biasa yang tidak mampu mencapai tahap seumpama itu, namun berusaha ke arah itu amatlah digalakkan.
Sifat sabar berkait rapat dengan sifat marah. Untuk mengawal kemarahan, kesabaran adalah penawarnya. Tidak semua sifat marah itu adalah mazmumah, kerana ada juga marah yang bernilai mahmudah contohnya marah agamanya diperolok-olokkan dan sebagainya. Namun, kemarahan sebegini masih perlu dikawal agar tidak cenderung ke arah kemarahan mazmumah.
Marah adalah sifat semulajadi manusia lantaran wujudnya elemen api dalam proses kejadian manusia itu sendiri. Insan yang tiada perasaan sebegini boleh dikatakan tidak mempunyai atau ditarik sensitiviti  dari nalurinya. Didikan mahupun tarbiah keatas seseorang individu itu mampu mendorongnya mengawal sifat marah dan memupuk sifat sabar.
Justeru, sifat ini perlu diuruskan dengan baik. Rasulullah mengibaratkan orang yang paling kuat adalah seseorang yang mampu mengawal kemarahannya. Ini dijelaskan melalui hadis rasulullah bermaksud ‘bukanlah orang yang kuat itu kerana ia kuat berlawan, tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang mengawal dirinya ketika marah.’ (riwayat muttafaqun alaih)
Dalam satu hadis lain, rasulullah memberi tips mengawal marah dari bermaharajalela didalam jiwa. Sulaiman bin surad menceritakan bahawa ketika beliau sedang duduk bersama rasulullah, terdapat dua orang lelaki yang sedang cla-mencela antara satu sama lain dan salah seorang daripada mereka kelihatan merah mukanya (kerana menahan kemarahan) dan tegang urat lehernya. Lantas rasulullah menasihatkan pemuda tersebut membaca ta’awuz kerana bacaan itu mampu menghilangkan kemarahan yang melulu.
Peristiwa ini jelas memberi hint kepada kita kita bahawa sifat marah berpunca dari syaitan laknatullah. Ini kerana dia sangat inginkan anak adam bersengketa sesama sendiri. Memandangkan kemarahan ini berunsur api, jadi ia mesti di padam dengan unsur air. Tetapi dengan paip bombakah? Oh, tidak. Air wudhu’ sudah memadai.
Rasulullah juga mentarbiah kitia supaya mengubah posisi tatkala sedang dihasut amarah. Sabda rasulullah yang bermaksud ‘apabila salah seorang daripada kamu marah sedang dia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk sehingga perasaan marah itu hilang daripadanya, jika tidak maka hendaklah ia berbaring.’ (riwayat al-bukhari)
Rasulullah mengajar para sahabat dengan memberikan uswatun hasanah. Begitu juga dengan mengawal kemarahan, bukan sekadar teori malah praktikalnya juga dilaksanakan sendiri oleh insan mulia lagi agung itu. Malah da’wah yang paling berkesan adalah dengan mempraktikkan sendiri sesuatu yang hendak disampaikan. Subhanallah...