Sunday, May 20, 2012

~ 9 tanda mencintai ALLAH ~



1~ Cinta kepada kematian

2~Bermunajat kepada ALLAH

3~Sentiasa berzikir kepada ALLAH

4~Berjuang di jalan ALLAH

5~Melakukan ketaatan dirasakan nikmat

6~Tidak berduka dengan kehilangan sesuatu

7~Menundukkan nafsu

8~Menjalin kasih sayang sesama makhluq

9~Takut berpaling dari ALLAH

~kehilangan~


k e h i l a n g a n . . .

pemergian seseorang semakin ku rasai . . .

mungkin tidak sanggup untukku hadapi . . .

namun ia kemestian yang bakal ku tempuhi . . .

ia adalah takdir yang tercipta untukku . . .


ya, sememangnya banyak kata motivasi yang ada untuk dihidangkan . . .

tetapi, ku memilih untuk menelan kepahitan . . .

kerana, aku tetaplah aku . . .

hanya DIA yang Maha Tahu . . .


i n i l a h l u m r a h k e h i d u p a n . . .



Saturday, May 19, 2012

~nasihat diri~



Ramai antara kita yg pernah memberi nasihat kepada kawan-kawan ketika kesusahan, menenangkan hati mereka dan sedekahkan mereka senyuman.

Namun, apabila kita ditimpa kesusahan, kita yg tukang memberi nasihat ini gagal menasihatkan diri kita, dan biasanya memerlukan pihak ketiga utk menyampaikan nasihat yg sama balik kpd kita.

Jika anda adalah salah seorg di atas, ini bermaksud kebanyakan nasihat yg dtg drpd anda, hanyalah dr mulut dan tidak dipraktikkan dalam kehidupan. Jiwa anda masih tidak selari dgn jasad kurniaan ALLAH, dan minda masih tidak dpt membezakan realiti dgn bisikan syaitan.

Jgn jadi org yg pandai menasihat tetapi sendiri tidak pernah mengikuti nasihat sendiri... itu adalah mirip ciri-ciri munafik. telinga sendiri yang mendengar adalah paling dekat dengan lidah yang berkata-kata.

Ingatlah pd ALLAH, sentiasa pastikan minda berada di 'masa kini', sekiranya ia melayang, cari sesuatu kerja berfaedah utk dilakukan. Dan SENYUM di mana-mana sahaja anda berada.

Sedikit petua utk dikongsikan bersama: Pandanglah cermin dan senyum pd diri sekali-sekala ketika minda melayang, inshaALLAH minda akan kembali ke masa kini.

8 iktibar setelah 8 tahun syahidnya Sheikh Ahmad Yaasin




(22 Mac 2012), genap 8 tahun perginya Sheikh Ahmad Yaasin sebagai seorang syahid. Secara ringkas, kita mengambil 8 iktibar dari kesyahidannya:

1. Kematian adalah satu kemestian. Semua yang hidup akan mati. Kubur sebagai tempat persinggahan dan laluan ke akhirat adalah pasti. Soalnya, mati itu bagaimana? Ada yang mati sebagai pemimpin zalim yang dibenci. Ada yang mati sebagai selebriti yang ditangisi tetapi hakikatnya ia menangisi dirinya sendiri. Ada yang mati sebagai hamba ALLAH yang sejati. Dan ada yang syahid, rohnya riang gembira di syurga walaupun jasadnya berderai merata dan darahnya memenuhi bumi. Assyahid Sheikh Ahmad Yaasin meninggal hari Isnin dalam keadaan berpuasa, awal subuh dinihari.

2. Jika ALLAH menyayangi anda, ALLAH akan memberikan husnulkhatimah buat anda. Tiada kesudahan paling baik melainkan mati syahid. Kurang sedikit, mati dalam situasi taatkan ALLAH secara umum.

3. Kasih sebenar Sheikh Ahmad Yaasin adalah kepada ALLAH, NabiNya dan Islam. ALLAH menjadikan kematiannya sebagai suatu yang besar. Lebih 200 ribu mengiringi jenazahnya. Umat Islam seluruh dunia bercerita tentang kematiannya. Majlis Keselamatan PBB mengutuk pembunuhannya. Kerajaan Arab juga demikian. Eropah juga tidak berkecuali bercakap mengenainya. Sheikh Ahmad Yaasin bukannya menteri, tidak juga raja atau pembesar tetapi ketokohannya sebagai pemimpin Islam menjadikan kawan dan lawan memandang hebat kepadanya.

4. Permusuhan dan pertembungan kita dengan Yahudi yang memusuhi kita, regim Zionis dan semua proksi mereka adalah berterusan sekalipun pelbagai perjanjian ditandatangani, pelbagai persidangan dan seminar dilihat di tv dan pelbagai kata manis dari Amerika dan Eropah dijanji.

5. Sekalipun umat Islam lemah, hanya melihat pemimpin gerakan Islam mereka dibunuh, atau hanya mampu berdemonstrasi menyatakan kebencian kepada musuh, namun untuk menyerah kalah, menggadaikan prinsip perjuangan, mengiakan segala perjanjian zalim dengan regim yang zalim tidak sekali.

6. Untuk menggerakkan ummah, tidak perlu kelayakan akademik yang tinggi-PhD, MA, BA atau jawatan-jawatan yang hebat. Bacalah kelayakan akademik As-syahid Sheikh Ahmad Yaasin yang sederhana sahaja.

7. Peranan musuh dalam selimut sangat bahaya. Tidak mungkin Sheikh Ahmad Yaasin boleh dibunuh sedemikian rupa seperti pemimpin Palestin yang lain, kalau tidak dengan kerjasama dan maklumat dari ‘orang dalam’ atau dari kalangan munafiq dalam masyarakat Islam itu sendiri.

8. Perjuangan Islam tidak terhenti dengan syahid dan matinya pemimpin. Rasulullah SAW wafat, para sahabat meninggal, para ulama dan pejuang Islam terdahulu telah menunaikan janji masing-masing dengan ALLAH. Nabi SAW memberi khabar gembira dengan adanya umat ini yang terus melangsungkan perjuangan menegakkan Islam sehingga berlaku antara 2 ketentuan-menang atau syahid.

Penulisan Ketua Lajnah Penerbitan Dan Penyelidikan Dewan Ulama PAS Terengganu

Thursday, May 17, 2012

~Kenalkan Aku Dengan Diriku~




Arrifni Nafsii = Kenalkan Aku Dengan Diriku

Di hadapan saya, lautan yang luas. Kelihatan tidak kurang sejauh 1 km ada kapal-kapal yang sedang belayar. Saya menunduk 80 darjah, kelihatan pula beberapa ekor ikan berenang ke sana ke mari dengan riangnya. Saya lemparkan keropok yang saya beli, mereka makan. Alhamdulillah, ada senyum dihati saya.

Saya mendongak ke langit. Awan kelihatan cantik, langit pula kelihatan biru yang mendamaikan jiwa. Ya, itu yang saya lihat. Tapi saya yakin, dari atas sana, saya juga sedang dilihat dan diperhatikan. Lalu saya perhatikan diri saya sendiri.

Saya kenal dengan benda-benda di sekelilingnya. Saya kenal dengan manusia-manusia lain selain diri saya; keluarga saya, sahabat saya, kawan-kawan dan manusia di sekeliling. Saya tahu membaca, saya tahu mengira, saya tahu menilai itu dan ini.

Tapi, adakah saya kenal, tahu dan menilai diri saya sendiri?
Mari sama-sama bertanya pada diri.


Bersoal Jawab Sendiri

Bercakap pasal diri sendiri, semestinya masing-masing ada kisah silam yang tersendiri. Yang mungkin pada kisah silam itu terselit pengalaman suka dan duka yang sangat menyakitkan, yang sangat menggembirakan. Apapun kisah silam itu, ia tetap merupakan satu pengalaman walaupun ada waktunya apabila terkenangkannya, sesekali terasa ada tusukan sembilu di jiwa.

Kisah silam tidak patut disesali sehingga kita benci walaupun hanya sekadar untuk mengingati detik-detik yang pernah dilalui. Kalau sesalan itu menimbulkan keinsafan, tidak mengapa. Tapi kalau sesalan itu lebih menimbulkan benci, saya kira kita patut periksa hati masing-masing. Mungkin ada dendam pada manusia, dan tidak mustahil akan berdendam kepada ALLAH Ta’ala secara halus tanpa disedari, kan?

Berdendam kepada ALLAH secara halus? Adakah? Semestinya, ada.

Dendam yang begitu adalah satu perasaan yang merasakan bahawa ALLAH Ta’ala tidak adil terhadap hidup kita yang Dia ciptakan. Maka mulalah kita akan mempersoalkan kenapa hidup saya begini, hidup orang lain begitu. Kenapa saya dilahirkan untuk jadi begini, sedangkan orang lain sudah jadi begitu?

Saya tidak mahu menyentuh tentang kesempurnaan. Kita semua sedia maklum, tiada manusia yang sempurna di atas muka bumi ini pada zaman ini. Hidup ini penuh dengan cacat cela. Yang pasti, ketidaksempurnaan itu ALLAH Ta’ala tidak ciptakan dengan sia-sia. Sebab, disebaliknya terlindung kelebihan pada diri setiap manusia yang manusia kena usahakan. Tinggal manusia itu buka mata hati dan berusaha.

Pernah tidak saya dan anda bersoal jawab dengan kisah dan pengalaman silam sendiri?

Tanpa kita sedari, pengalaman silam itu yang membantu kita menjadi diri kita pada hari ini. Kadang-kadang ada manusia yang melalui pengalaman yang pahit masa silamnya, lalu dia berubah menjadi seseorang yang sebolehnya tidak mahu orang lain merasai rasa yang pernah dirasainya dahulu. Namun, ada juga yang berubah jadi sebaliknya.

Nah, kita yang mana sebenarnya?
Pegang dada, pejam mata, dan tanya diri sendiri.

Tersedar Dek Komunikasi Dengan Orang Lain

Banyak waktu, komunikasi yang terjalin dengan manusia lain, membuatkan mata kita terbuka hijab perihal diri kita sendiri yang mungkin kita tidak tahu diri kita ini bagaimana. Mungkin kita sebelum ini langsung tidak pernah terfikir yang mungkin rupa-rupanya kita orang yang begini dan begitu.

Rupanya pe’el kita yang begini dan begitu.

Penilaian orang lain terhadap diri kita, memang adakalanya sangat menyakitkan. Apatah lagi apabila penilaian itu adalah penilaian yang terzahir semata-mata. Dan lagi sangat menyakitkan apabila penilaian itu dibuat dan dinyatakan kepada kita kerana waktu itu orang lain sedang marah. Biasanya, bicara pada waktu keadaan marah itu adalah yang terpendam. Betul, tidak?

Kalau betul penilaian orang lain terhadap diri kita itu betul, maka terimalah walaupun sakit dan terasa mensiat-siat hati. Itu maknanya ALLAH Ta’ala beri peluang kepada kita nampak keburukan diri kita sendiri melalui orang lain. Beri waktu pada diri, bersoal jawablah dengan diri sendiri untuk memperbaiki.

Tapi sekiranya penilaian orang lain itu tidak betul, pun kita harus muhasabah. Atas dasar apa orang lain boleh berkata itu dan ini terhadap kita walaupun perkara itu tidak betul dan memang menyakitkan hati.

Dalam diri kita ini, ada jiwa yang baik dan jiwa yang buruk. Itu saya beriman dengannya. Dan saya lebih beriman bahawa pada setiap dalam diri kita ini, mempunyai kebaikan yang mengatasi keburukan kerana sifat kebaikan itu ada dalam diri kita sejak dari penciptaan. Tapi dek kerana perbuatan-perbuatan kita yang mungkin tidak selari dengan makna kebaikan, maka keburukan itu menenggelamkan kebaikan.

Hisablah Diri Sendiri Sebelum Dihisab

Manusia ini, kadang-kadang selalu sahaja terlalu memerhatikan tingkah laku orang lain sehingga terlupa diri sendiri pun mempunyai keburukan. Selalu sahaja mencari-cari keburukan orang lain, lalu memendamkannya. ALLAH Ta’ala takdirkan, akhirnya suatu hari tu, manusia terluahkan keburukan orang lain yang dipendam selama ini.

Anda sukakah kalau orang lain menilai yang sama seperti itu?

Manusia lalai terhadap diri sendiri sehingga sibuk menilai-nilai orang lain. Sehingga suatu saat, rupanya diri sendiri tidak pandai menilai diri tapi sangat mahir untuk menilai orang lain. Sangat teliti mengenai perangai orang lain tanpa berpijak di kaki sendiri.

Betullah kata seorang ulama’, Sahal bin Abdillah; mengenali diri sendiri itu lebih sulit dan lebih halus berbanding mengenali musuh. Maksudnya, aib dan keburukan diri sendiri sangat sukar dikesan oleh empunya diri berbanding aib dan keburukan orang lain.

Agak-agaknya, berapa banyak dari kita yang berdoa supaya ALLAH Ta’ala mengenalkan diri kita kepada diri kita sendiri? Maksud saya, supaya kita selalu menyedari kekurangan dan keburukan kita terhadap manusia lain. Dalam keramaian, mahu pun ketika bersendirian? *tertundukdalamdalam*

Jangan terlalu lantang mengatakan orang lain itu begini dan begitu. Kerana kita tidak tahu, di tempat yang lain, di satu sudut yang lain, ada manusia lain yang sedang menilai setiap perbuatan dan tingkah anda. Jangan sampai anda merasai sakitnya apabila orang lain menilai dan lantang berkata-kata mengenai keburukan anda.

Manusia diciptakan untuk berkenal-kenalan, untuk berkasih-kasihan, untuk menjadi kawan, menjadi sahabat dan menjadi keluarga. Tahu antara hikmahnya itu adalah apa? Anda pernah terfikir akan semua ini atau tidak?

Antaranya, adalah saling melengkapi!

Apa yang buruk, sama-sama ditutupi dan diperbaiki. Apa yang baik, sama-sama diamalkan dan didorong untuk menjadi yang lebih baik dan bermanfaat kepada ummah.

Kita ini, tiada yang sempurna.
Kerana saya, kamu dan kamu mempunyai kekurangan dan kelemahan.

Pssst, Sahabat! Andainya terbuka hijab keburukan diri saya pada pandanganmu,
adakah kamu akan tahu untuk berkata sesuatu? Atau..
adakah kamu akan berlalu pergi tanpa kata dan tidak menoleh lagi?

Jom sama-sama berdoa kepada Tuan Punya Dunia.
ALLAHumma arrifni nafsii! Ya ALLAH, kenalkan aku dengan diriku~

Semoga ALLAH merahmati.

Tuesday, May 15, 2012

~bahaya sekular~


Sekular atau dalam bahasa arabnya dipanggil "al-'Ilmaniyyah" diambil dari perkataan ilmu (dalam bahasa arab = 'ain, lam dan mim). Kononnya dari segi mafhum, ia bermaksud mengangkat martabat ilmu, jadi ia tidak bercanggah dengan mafhum Islam yang juga menjadikan ilmu sebagai satu perkara penting bagi manusia dan menyeru kepada ilmu sejak wahyu pertama lagi TETAPI sebenarnya penterjemahan kalimah sekular kepada "al-'Ilmaniyyah" hanyalah satu tipu daya dan berselindung di sebalik slogan ilmu.

Sebenarnya kalau diperhatikan makna tersirat bagi sekular ialah "al-Ladiniyyah" yakni tanpa agama atau "al-La'aqidah" yakni tanpa akidah. Tokoh pemikir Islam Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi pernah menyebut perkara ini di dalam penulisannya tentang sekularisme.

Istilah "al-'Ilmaniyyah" dipilih untuk mengabui mata umat Islam agar menerimanya kerana jika digunakan istilah "al-Ladiniyyah" atau "al-La'aqidah", sudah pasti umat Islam akan menolaknya.

Sebab itulah kita merasakan betapa jahatnya penterjemahan sekular kepada istilah "al-'Ilmaniyyah" dengan tujuan mengabui mata dan betapa jahatnya golongan ini yang ingin menutup perbuatan mereka tanpa diketahui oleh kebanyakan orang. Bagi anak didik sistem sekular, mereka tidak segan silu menerima dan bermati-matian mendokongnya kerana mereka memang telah diprogramkan untuk menyebarkan fahaman sekularisme.

Namun bagi ulama-ulama Islam yang faham hakikat sebenar makna Islam, mereka bermati-matian pula menentang penyebaran fahaman ini yang jelas bertentangan dengan hakikat Islam. Jadi sudah tentu berlaku satu pertembungan antara pendokong sekularisme dan ulama-ulama Islam dalam mempertahankan "hakikat" masing-masing.

(SEKULARISME ANTARA TIMUR DAN BARAT)

Tidak menghairankan jika fahaman sekularisme mendapat tempat di barat. Ini berpunca dari pengongkongan gereja dan tindakannya menyekat pintu pemikiran dan penemuan sains. Ia bertindak ganas lagi dengan menguasai akal dan hati manusia, dengan erti kata lain segala keputusan adalah di tangan pihak gereja dengan mengambil kesempatan mengaut keuntungan dari pengikutnya dengan cara yang salah.

Eropah pernah tenggelam dengan darah mangsa-mangsa pihak gereja apabila ratusan malah ribuan orang mati di dalam penjara dan di tali gantung. Dengan sebab ini berlakulah pertembungan antara gereja dan sains yang akhirnya tertegaklah fahaman sekularisme yang bererti "memisahkan agama (kristian) dari negara".

Suasana kacau bilau dalam agama kritian hasil penyelewengan yang berlaku dalamnya (-ia berpunca dari perancangan yahudi-) memungkinkan tertegaknya fahaman sekularisme di samping agama kristian yang sedia ada. Sekularisme disebarkan untuk keluar dari kepompong gereja yang begitu teruk mengongkong pengikutnya. Masyarakat Eropah tertekan dan dizalimi di bawah pemerintahan gereja.

Bagi pejuang sekular, mereka menganggap dengan berada di bawah kuasa gereja mereka tidak akan mencapai kemajuan. Sebab itulah mereka memutuskan tali ikatan diri mereka dengan gereja dan menjadi orang yang beragama kristian hanya pada nama tidak pada pengamalan agama.

Sekularisme adalah suatu kepercayaan atau fahaman yang menganggap bahawa urusan keagamaan atau ketuhanan atau gereja tidak harus dicampurkan dengan urusan negara, politik dan pentadbiran.

Ringkasnya sekularisme adalah satu fahaman yang memisahkan antara urusan agama dan kehidupan dunia seperti politik, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Yang jelas menurut faham sekular, soal bernegara, berpolitik, berekonomi dan sebagainya tidak ada kaitan dengan soal agama atau gereja.

Apabila fahaman sekularisme ingin dipindakan dari barat ke timur, golongan ini tidak menyedari (secara sengaja atau tidak) suasana di timur yang berpegang kuat dengan agama Islam. Sudah pasti ia tidak sekali-kali merelakan pemisahan agama (Islam) dari negara. Keadaan dalam Islam tidak sama dengan apa yang terjadi dalam kristian di mana sepanjang sejarah Islam tidak ada penzaliman terhadap penganutnya.

Begitu juga Islam tidak membenarkan pemisahan agama (Islam) dari negara kerana negara mengikut fiqh Islam ialah sebahagian dari agama bukannya satu perkara yang berasingan. Dalam Islam, tidak mungkin tertegaknya agama (dengan sempurna) tanpa negara (yang boleh menguatkuasakan undang-undang agama) dan tidak mungkin tertegaknya negara (tanpa kacau bilau) jika tidak ada agama (yang boleh memandunya).

Al-Syahid Hasan al-Banna dalam "Majmu'ah Rasa'il" menegaskan bahawa Islam merupakan sistem sempurna yang merangkumi urusan kehidupan manusia semuanya. Ia merangkumi negara, kerajaan, rakyat, akidah, syariat, akhlak, ekonomi, keadilan, undang-undang, ilmu, jihad, dakwah, tentera dan lain-lain.

Pendek kata tidak ada perkara yang dibiarkan melainkan Islam merangkuminya. Al-Quran sendiri telah menggariskan beberapa dasar umum untuk umat Islam dalam memandu kehidupan mereka.

Sebagai contoh dalam bidang akidah (lihat surah Al-Imran ayat 19), bidang ibadat (lihat surah Al-Baqarah ayat 43), bidang sosial (lihat surah Al-Baqarah ayat 188), bidang politik (lihat surah Saba' ayat 15), bidang undang-undang perlembagaan (lihat surah Al-Nisa' ayat 59) dan juga bidang-bidang yang lain.

Islam tidak sekali-kali membenarkan penyebaran fahaman sekularisme di sampingnya dengan membahagikan tugas antara keduanya iaitu, Islam hanya berfungsi di dalam urusan akidah dan sekularisme pula berfungsi di dalam urusan syariat. Perkara ini tidak mungkin terjadi kerana Islam merupakan satu agama yang terkandung di dalamnya akidah dan syariat sekaligus dan ia tidak membenarkan pemisahan ini dilakukan seperti mana Islam tidak membenarkan tuhan-tuhan lain ditaati dalam bidang syariah seperti ditaatinya Allah dalam bidang akidah. Allah telah menegaskan dalam al-Quran bahawa agama yang diredhainya hanyalah Islam yang suci.

FirmanNya yang bermaksud,

"Sesungguhnya al-Din (agama) yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam",
surah Al-Imran ayat 19.

Jadi untuk menyamakan Islam dengan agama kristian dan percubaan memasukkan fahaman sekular ke dalam Islam adalah satu kesilapan dan jenayah yang besar. Islam tidak seperti kristian kerana Islam datang dari Pencipta manusia iaitu Allah s.w.t, ia selamat dari cacat cela. Kristian pada asalnya agama tauhid tetapi telah diselewengkan oleh paderi-paderi untuk kepentingan mereka.

Sekularisme bukan berasal dari Islam dan Islam berlepas tangan dari fahaman kufur ini dan tidak ada kena mengena dengannya. Sesiapa sahaja daripada umat Islam yang mengagungkan sekularisme iaitu dengan menganggap untuk maju tidak perlu beramal dengan Islam maka boleh membahayakan akidahnya.

Sekularisme bukan hanya sekadar berpandangan politik suku agama suku tetapi dengan menyempitkan ruang lingkup agama, itu juga termasuk dalam sekularisme seperti beramal dengan Islam secara separuh. Apa yang memberi keuntungan dan kemudahan diterima pakai manakala yang mendatangkan kesusahan ditolak tepi.

Sebab itulah perbuatan ini ditempelak oleh Allah melalui firmanNya surah al-Baqarah ayat 85, maksudnya :

"adakah kamu percaya (beriman) kepada sebahagian kandungan Kitab (al-Quran) dan ingkar akan sebahagiannya?

Sebaliknya Allah memerintahkan agar menerima Islam secara keseluruhannya melalui firmanNya surah al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud,

"wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam keseluruhannya".

(CARA-CARA PENYEBARAN SEKULARISME)

Semenjak penjajah barat meletakkan kaki mereka ke bumi umat Islam, mereka berusaha sedaya upaya untuk menyebarkan fahaman sekularisme ini melalui pelbagai cara. Dengan keupayaan ilmu dan teknologi yang dimiliki serta pengalaman, mereka berjaya melaksanakannya.
Cara-cara penyebaran fahaman sekularisme ini dilaksanakanan melalui bidang pendidikan, media massa dan undang-undang. Tujuannya hanyalah untuk menjauhkan umat Islam dari agamanya.

(PENYEBARAN SEKULARISME MELALUI PENDIDIKAN)

Antaranya ialah :

1. Menyekat pengajian agama Islam secara material dan moral.

i. Sekatan secara material dilakukan dengan membuka pintu seluas mungkin kepada pengajian yang kosong dari ruh agama Islam (pengajian yang jauh dari penekanan agama). Pengajian sebegini akan dibantu dan dibangunkan serta diberi kemudahan dari segi material. Adapun pengajian agama Islam disempitkan bantuan kewangan ataupun tidak dibantu lansung. Sebarang bantuan lebih dicurahkan kepada pengajian sekularisme.

ii. Sekatan secara moral ialah dengan memperlekehkan golongan penuntut agama dan tuan-tuan guru mereka. Membeza-bezakan antara guru-guru agama dan guru-guru subjek lain dalam setiap keadaan memang satu perkara yang disengajakan. Begitu juga membeza-bezakan antara lepasan bidang agama dan lepasan bidang-bidang lain. Dari segi jawatan pula, lepasan bidang agama tidak banyak mendapat peluang disamping ganjaran dan status yang dipandang rendah tetapi bagi lepasan bidang-bidang lain agak mudah mendapat peluang dengan habuan dan status yang lumayan. Mereka ini akan tenggelam dalam "ketidaksedaran" dan akan menyebabkan orang ramai tidak kira tua muda akan lari dari agama dengan terpahat satu sikap dalam minda mereka iaitu "jika kita memilih bidang agama ianya tidak akan ke mana dan tidak akan menjamin hidup", maka dengan itu mereka lebih cenderung kepada pengajian bidang bukan agama.

Bukanlah bermaksud di sini umat Islam tidak boleh mempelajari ilmu-ilmu selain dari ilmu Islam. Malah sebenarnya tidak ada istilah ilmu "bukan Islam", seperti kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya. Ia juga merupakan ilmu Islam. Yang menjadi persoalannya ialah umat Islam telah diabaikan dari segi penekanan ilmu agama yang sepatutnya menjadi teras kepada mereka. Tidak salah seorang muslim itu menjadi doktor, tetapi biarlah dia menjadi doktor yang ada asas didikan Islam. Juga tidak salah seorang muslim itu menjadi jurutera, tetapi biarlah menjadi jurutera yang ada asas didikan Islam.

2. Menghantar pelajar Islam ke negara-negara bukan Islam untuk belajar. Misi penghantaran ini akan membuahkan hasilnya yang memang dinanti-nantikan iaitu pelajar itu bertambah jahil dengan agama, nilai serta adat yang baik dan akan menyebabkan pelajar itu tertarik dengan budaya barat. Di samping itu, akan tertanam dalam diri pelajar itu tabiat (kelakuan) yang menyeleweng dari ajaran Islam. Dengan berlalunya masa, tabiat menyeleweng ini akan menjadi sebati dengan diri pelajar itu dan dia akan mempraktikkannya dalam kehidupannya sehinggakan dalam bab makan minum, pakaian, cara pergaulan dan lain-lain tabiat yang buruk. Dia akan menjadi lebih barat daripada orang-orang barat sendiri.

3. Melonggarkan sukatan pengajian agama atas nama kemajuan akademik. Residen Britain di Mesir Lord Krumer semasa penjajahan Britain ke atas Mesir telah melaung-laungkan slogan pembaharuan dalam Universiti al-Azhar dengan memasukkan subjek sivil dalam sukatan pengajiannya. Percampuran ini menyebabkan pelajar lemah dalam menguasai ilmu agama. Beberapa sukatan pelajaran juga telah dibuang atau dikurangkan seperti subjek yang berkaitan jihad menyebabkan ruh jihad telah hilang dalam diri pelajar Islam. Pelonggaran sukatan pengajian agama berlaku di seluruh negara Islam dengan tujuan untuk melemahkan pelajar-pelajar Islam.

4. Bercambahnya institusi pengajian asing di negara Islam bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Tujuannya ialah untuk mengeluarkan umat Islam dari agama mereka atau sekurang-kurangnya menyelewengkan akidah mereka. Paling kurang kesannya ialah menghina bahasa arab (bahasa umat Islam) dan mengagungkan bahasa asing. Penghinaan bahasa arab sebenarnya menghinakan agama Islam itu sendiri. Ini berlaku di negara-negara arab.

5. Paling bahaya cara yang digunakan ialah percampuran lelaki dan perempuan ketika pengajian. Mereka (golongan sekular) memulakannya di negara-negara Islam dengan mendakwa ianya kemajuan dan kemodenan tetapi ia sebenarnya menyalakan lagi obor nafsu manusia. Mereka juga mendakwa percampuran itu dapat mematangkan pemikiran tetapi mereka telah tersilap kerana ia antara punca tercetusnya masalah sosial yang kronik akibat percampuran yang tidak dikawal. Ilmu sains membuktikan percampuran sebegini akan membawa kepada 2 keadaan :

i. Samada ia akan membekukan nafsu seks antara 2 jantina, dengan erti kata lain, lelaki tidak lagi bernafsu kepada wanita secara tabii tetapi lebih bernafsu kepada kaum sejenis (satu perbuatan yang dikutuk oleh Allah s.w.t). Penyakit ini semakin menular di negara-negara barat dan juga Amerika Syarikat.

ii. Ataupun ia akan meransangkan lagi api nafsu. Satu eksperimen telah dijalankan dengan meletakkan anak kucing dan anak tikus yang masih kecil dalam satu sangkar. Kedua-duanya makan dan minum dari satu bekas yang sama sehinggalah sampai masa "keinginan", anak kucing itu telah membunuh anak tikus dan memakannnya walapun kedua-duanya hidup dalam satu sangkar serta makan dan minum dari bekas yang sama. Anak kucing itu tidak lagi menaruh sifat kasihan walaupun agak lama "berdamping" dengan anak tikus itu. Begitulah diibaratkan dengan percampuran pelajar dengan sebebas-bebasnya tanpa kawalan, lama kelamaan akan membawa ke arah masalah sosial. Realiti yang berlaku di negara-negara Islam adalah bukti yang nyata betapa teruknya masalah sosial yang berlaku.

(PENYEBARAN SEKULARISME MELALUI MEDIA MASSA)

Jikalau sekularisasi dalam pengajian hanya melibatkan ribuan pelajar, tetapi sekularisasi dalam media massa meliputi jutaan orang yang menonton, mendengar dan membacanya melalui program-program yang disediakan. Setiap perkataan atau tulisan yang baik akan menghasilkan natijah yang baik dengan izin Allah. Manakala perkataan atau tulisan yang jahat pula akan menghasilkan natijah yang jahat juga. Oleh itu media massa boleh berperanan untuk mengangkat martabat, peribadi, maruah dan minda seseorang atau ia juga boleh berperanan untuk menjatuhkan martabat, peribadi, maruah dan minda seseorang.

Realiti yang dapat dilihat melalui televisyen, radio, wayang gambar, teater, akhbar, majalah dan lain-lain media massa tidak banyak yang membantu perkembangan nilai-nilai murni. Ia juga tidak membantu perkembangan minda dan pengamalan dengan akhlak Islam. Jikalau adapun, ia hanya seperti tangkap muat dan pemanis mulut, tidak lebih dari itu. Rancangan-rancangan televisyen yang menyiarkan gambar separuh bogel atau "tidak sempat memakai baju dan seluar" banyak disiarkan untuk meruntuhkan akhlak umat Islam terutamanya golongan muda mudi. Sepatutnya media massa itu menjadi "mimbar dakwah" yang menyeru kepada kebaikan dan menyampaikan kebenaran, bukannya suara maksiat, medan fitnah dan kilang kerosakan sosial masyarakat. Itulah kerja sekularisme yang berusaha menjauhkan umat Islam dari agamanya.

(PENYEBARAN SEKULARISME MELALUI UNDANG-UNDANG)

Golongan sekular berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhkan Islam dari "kuasa" pemerintahan. Mereka akan memastikan agar undang-undang Islam tidak dirujuk walau dalam apahal sekalipun sehinggakan Islam kelihatan tinggal rangkanya sahaja. Ia terjadi di kebanyakan negara Islam. Di Turki contohnya, untuk menjauhkan manusia dari Islam, mereka berusaha mensekularkan undang-undang sedikit demi sedikit hingga akhirnya undang-undang Turki menjadi sekular dan terlerainya undang-undang khilafah Islam. Di Mesir "pengsekularan" undang-undang dilakukan ketika penjajahan Inggeris dengan mewajibkan merujuk kepada undang-undang barat secara umumnya dan undang-undang Perancis secara khususnya.

Undang-undang Islam yang tinggal hanyalah berkaitan nikah kawin (ahwal al-Syakhsiah) atau yang berkait dengan adat kerana ia tidak menggugat kedudukan penjajah. Umat Islam boleh mengamalkan undang-undang ini di kalangan mereka tetapi untuk mengamalkan undang-undang yang bersangkut paut dengan pemerintahan negara, jenayah dan lain-lain tidak diizinkan oleh penjajah. Ini adalah perancangan jahat golongan sekular. Mana-mana negara Islam yang ingin melaksanakan undang-undang Islam secara menyeluruh pasti akan menerima tekanan hebat dari pihak barat atau dari golongan sekular dalam negara itu sendiri.

Ini adalah sebahagian perancangan yang dilakukan oleh golongan sekular untuk memesongkan umat Islam dari beramal dengan agamanya mengikut jalan yang betul. Sesiapa yang hatinya kosong dari ruh agama pasti menganggap sekular itu adalah kemajuan dan kemodenan tetapi dia tidak sedar bahawa ketika dia menerima dan mendokong sekularisme, dia telah merenggangkan ikatan tali dirinya dengan Islam yang dianutinya. Umat Islam perlulah sedar perancangan-perancangan golongan sekular ini agar mereka tidak terjatuh ke dalam perangkap yang akan merugikan mereka di dunia dan akhirat.

Islam dan sekularisme tidak akan dapat disatu dan disebatikan kerana kedua-duanya adalah berbeza. Al-Marhum Syeikh Mutawalli Sya'rawi sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir sempat berkata : "sedarlah bahawa tidak akan berlaku pertembungan antara hak dengan hak tetapi pertembungan hanya berlaku antara hak dan yang batil". Maka umat islam perlulah mengikut yang hak (kebenaran) dengan menurut segala perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala laranganNya. Untuk mengetahui yang hak dan yang batil menurut pandangan syarak, maka tugas itu biarlah dilakukan oleh ulama-ulama yang pakar lagi ikhlas. Tidak ada jalan selamat di akhirat melainkan menerima seratus peratus ajaran Islam yang sebenarnya mengikut al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.


~Abuislam~



(P/S : artikel ini dipetik dan diubah suai dari buku "Mauqif al-Islam Min al-Tayyarat Wa al-Mazahib al-Mu'asharah" karangan Prof. Dr. Taha Abd al-Salam Khudhair dan Prof. Dr. Hasan Muharram al-Sayyid al-Huwaini, pensyarah jabatan akidah dan falsafah, kuliah Usuluddin Universiti al-Azhar Mesir).

Saturday, May 12, 2012

~Rahsia khusyuk solat~



Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk solatnya. Namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk. Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Isam dan ...bertanya : "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?" Hatim berkata : "Apabila masuk waktu solat aku berwudhu' zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?" Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air. Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-

1. Bertaubat

2. Menyesali dosa yang dilakukan

3. Tidak tergila-gilakan dunia

4. Tidak mencari / mengharap pujian orang (riya')

5. Tinggalkan sifat berbangga

6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu

7. Meninggalkan sifat dengki

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan ALLAH s.w.t. ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Sirratul Mustaqim' dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhirku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.

Setiap bacaan dan doa dalam solat kufaham maknanya, kemudian aku ruku' dan sujud dengan tawadhu', aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun." Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.